Sebelum menjadi pelabur, kerjaya saya adalah sebagai pembaca sepenuh masa.
Jadikan membaca sebagai kerjaya, keuntungannya luar biasa!
Pembaca juga adalah sebuah karier? Biar betul! Ya..betul la tu. Pada saya, menjadi pembaca yang konsisten telah membuka jalan yang terbaik untuk saya buat apa yang saya mahu buat dalam hidup. Memang itulah realitinya, sebelum menjadi pelabur, saya seorang pembaca.
Saya anggap membaca adalah satu kerja wajib setiap hari. Tak kira buku, artikel internet atau apa sahaja ilmu bermanfaat untuk saya fahami dan praktikkan, saya akan peruntukkan masa untuk membaca.
Ramai yang tanya macam mana nak konsisten membaca? Dan ramai juga yang cakap susahlah sibuk dengan kerjaya hakiki, kat rumah pulak sibuk menguruskan rumah, sibuk menguruskan anak-anak.
Lebih-lebih lagi jika kita wanita yang dah bergelar mama memanglah macam tangan sotong..sangat multitasking. Tetapi sebenarnya masih ada cara untuk konsisten membaca. Jom saya kongsikan tipsnya, mana tahu ia boleh membantu anda juga:
1. Tetapkan/target ilmu apa yang mahu kita fahami dan praktikkan pada masa sekarang.
Jika dulu, saya pun tak ambil peduli sangat buku-buku kat pasaran. Selepas habis belajar, saya fikir tak perlu lagi dah baca buku. Fokus dengan kerja je..buat apa nak baca buku. Itu kesilapan mindset saya ketika itu dan saya tak mahu ia berulang lagi kepada anak-anak saya dan juga kepada anda.
Cuba fikirkan selain kerjaya anda sekarang, apa yang anda minat? Saya bermula dengan buku Rich Dad Poor Dad (Robert Kiyosaki) hadiah dari suami saya Bija Rosly (penulis bersama buku Bijak Urus Rumah Sewa) pada tahun 2013. Versi Bahasa Melayu, sebab saya dulu nak baca buku Bahasa Melayu pun susah asyik banyak alasan, apatah lagi kalau Bahasa Inggeris. Bagaimana dan kenapa buku tersebut, saya pun tak ada jawapan sebab suami beli sebagai hadiah birthday.
Sejak baca buku tersebut, kebanyakan koleksi Kiyosaki saya ada, termasuklah tulisan dari isteri beliau iaitu buku Rich Woman (Kim Kiyosaki). Pada masa ni, semua versi dah ada, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Semakin banyak saya baca, semakin banyak idea datang dan lama-lama ia membentuk minat saya ke arah pelaburan dan kewangan. Begitulah permulaan dan perjalanan bagaimana buku-buku ini mengubah mindset saya. Memang sebelum menjadi pelabur, saya seorang pembaca tegar.
Selepas buku Kiyosaki, semakin banyak koleksi buku yang saya ada. Buku-buku ini saya beli berdasarkan apa yang mahu saya faham dan praktiskan. Saya susun mengikut keperluan utama saya dulu.
2. Peruntukkan masa yang berkualiti untuk membaca buku yang kita dah tetapkan tu.
Maksud masa berkualiti kat sini, kita boleh baca dengan kefahaman yang baik dan rasa seronok walaupun hanya 10 minit masa diperuntukkan. Senang cerita, time tu kita rasa enjoy.
Kalau wanita yang dah ada anak, saya pernah cadangkan seorang kawan untuk baca 15 minit sebelum ambik anak di taska (baca dalam kereta), ada juga saya cadangkan baca 30 minit sebelum tidur dan ada juga ketika sedang masak. Waktu masak? Haha..sebenarnya ini habit saya..sambil tunggu makanan tu reneh ke, saya baca beberapa artikel kat handphone. Buatlah ikut kesesuaian masing-masing, yang penting ada effort untuk luangkan masa berkualiti untuk membaca. Bila kita enjoy waktu baca, kefahaman akan menjadi lebih baik.
Jika anda juga mahu jadi seorang pelabur, tolong persiapkan diri dengan ilmu sebaiknya dahulu. So, sebelum menjadi pelabur, jadilah dulu seorang pembaca.
3. Sediakan library kecil kat rumah.
Library kat sini boleh ditafsirkan dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Kalau kat rumah saya, hanya ada sebuah rak buku besar dan deretan buku-buku yang amat saya sayangi. Bila lihat balik deretan ni, saya rasa besar sungguh aset saya. Buku-buku ni lah aset yang membina mindset saya untuk self improvement.
Ada beberapa buku yang saya baca berulang kali, salah satu dari nya sampai 5 kali ulang (dalam masa 4 tahun). Kali ke 5, saya rasa bertambah faham tentang keseluruhan buku tersebut. Sebab itu saya gelarkan buku-buku ini sebagai aset. Ianya evergreen untuk saya buat rujukan semula. Jika ada kemahuan, sesiapa sahaja boleh!
Dengan adanya rak ini, senang untuk buku disimpan atau diambil bila-bila masa kita nak baca. Rak ini juga boleh mendidik anak-anak kecil untuk rasa suka membaca (apabila melihat ibu bapa nya membaca).
4. Mulakan dengan bahasa yang mudah anda fahami
Jika dulu, saya lebih suka buku yang dialih bahasa kerana mudah dan cepat untuk saya habiskan. Bila habiskan sebuah buku, rasa juga satu pencapaian besar..haha. Kemudian, pada masa sekarang, saya lebih suka baca buku dalam versi asalnya iaitu Bahasa Inggeris.
Pada saya, lebih mudah sampai maksudnya jika saya baca dalam bahasa asalnya. Bukan tak percayakan alih bahasa, tetapi kefahaman saya telah meningkat dari rutin membaca secara konsisten sebelum ini. Apabila mudah faham, saya rasa lebih happy dan bersemangat untuk terus konsisten menggali ilmu dari pembacaan.
Kita tak perlu jadi orang lain, jadi diri kita sendiri dulu. Pilih bahasa yang anda mudah fahami dan kemudian minat membaca akan terus berkembang selagi anda konsisten membaca.
Baca juga: Memilih Perkataan
Begitulah antara tips yang saya boleh kongsikan berdasarkan apa yang sudah saya lalui. Sekarang ni pun saya masih dalam perjalanan. Membaca masih menjadi keutamaan saya setiap hari. Kalau bukan buku fizikal, saya akan membaca artikel dalam blog di handphone.
Rasa tak lengkap jika sehari saya tak membaca. Jadi, selepas bergelar pelabur, saya masih lagi berstatus pembaca tegar. Dari seorang pembaca juga, secara tak lansung saya menjadi seorang penulis pula.
Dari menulis matlamat untuk diri sendiri, saya menulis juga dalam blog Wanita Wajib Kaya ini supaya dapat kongsi ilmu dengan anda semua. Semoga kisah sebelum menjadi pelabur, saya seorang pembaca ini bermanfaat hendaknya.
Ikuti juga perkongsian di:
1 komen
Terima kasih berkongsi
Komen telah ditutup.