Shortcut untuk berjaya- rahsia yang bukan lagi rahsia, cuma ramai yang bertangguh untuk buat je.
Nak tahu tak antara perkara paling pantas yang kita boleh buat untuk berjaya dalam sesuatu bidang yang kita impikan? Cara tersebut adalah meminjam pengalaman seseorang yang telah melaluinya. Seseorang yang berjaya pastinya memiliki mindset yang berbeza dari orang sekelilingnya. Idea- idea dari mindset yang baik ini diterjemahkan dalam bentuk pengalaman, jatuh bangun, pengajaran dan nasihat berguna yang dikumpulkan dalam bentuk sebuah buku. Jadi, bagaimana buku boleh mengubah mindset orang lain yang membacanya?:
1. Pinjam pengalaman dan pengajaran dari orang yang sudah berjaya
Orang yang berjaya ni, susah kita nak jumpa mereka secara in person, tambah-tambah lagi kalau mereka beribu batu jauh jaraknya dari kita. Tetapi ada antara mereka yang tak lokek berkongsi ilmu melalui penulisan iaitu buku.
Sebenarnya, dalam budaya kita ilmu dari buku ni tak ramai yang nak belajar sebab ia bergantung pada kesanggupan seseorang untuk berterusan membaca secara konsisten. Kalau suka membaca tak apa, tapi ramai yang tak suka membaca. Baca tajuk je kemudian buat andaian sendiri.
Membaca ni sebenarnya antara jalan pintas untuk berjaya mencapai matlamat kita. Kita dah banyak jimat masa dengan belajar tips dan pengajaran dari kesilapan orang lain yang telah melalui sepak terajang dalam bidangnya. Cuma, sesuaikanlah dengan matlamat yang kita mahukan tu.
2. Sesiapa sahaja boleh akses dengan mudah kepada ilmu yang dibukukan
Harga sebuah buku sangat kecil jika dibandingkan dengan manfaat yang kita perolehi daripadanya. Saya pernah cerita bagaimana perjalanan saya yang marhaen ini ke arah dunia pelaburan. Sebelum menjadi pelabur, saya seorang pembaca. Saya Pembaca yang konsisten dan akan praktiskan apa yang saya sudah baca. Menjadi seorang pembaca yang konsisten, pada saya adalah satu karier yang wajib bagi setiap orang terutama wanita. Walaupun banyak sangat kerja kita, penting untuk peruntukkan masa membaca untuk tambah pengetahuan dan praktiskannya.
Ilmu dari buku tidak memerlukan kita mempunyai pangkat besar atau kabel untuk mencapai rahsia kejayaan yang terdapat di dalamnya. Sesiapa sahaja boleh akses kepada ilmu-ilmu ini dengan bermodal kan sedikit wang (berpatutan). Modal yang lebih besar adalah tindakan dan kemahuan diri untuk konsisten belajar dari buku tersebut.
3. Membantu merungkai perkara dalam fikiran kita
Manusia sentiasa berfikir. Jika kita terlalu fikirkan sesuatu perkara, maksudnya ada sesuatu yang belum selesai dan kita perlukan jalan untuk menyelesaikannya.
Saya selalu menggunakan frasa pertanyaan “bagaimana” kepada diri sendiri jika mahu cari jalan untuk selesaikan sesuatu perkara. Dengan soalan tersebut saya akan mula mencari buku-buku atau artikel berkenaan persoalan yang timbul.
Koleksi buku saya lebih terarah kepada buku motivasi dan pelaburan kerana persoalan-persoalan tentang perkara ini yang selalu ada pada fikiran saya. Sesetengah buku akan memberikan jawapan yang saya mahu selepas sekali sahaja saya habis bacanya. Sesetengah buku lain pula perlukan saya ulang baca 3-5 kali sebelum mendapat idea untuk menyelesaikan perkara yang saya fikirkan.
Saya kongsikan kat sini antara buku terawal yang saya baca dalam mencari kefahaman untuk membina mindset yang betul dan memahami bidang pelaburan dengan lebih baik.
1. Rich Dad Poor Dad
2. Rich Woman
3. The Law of Attraction
4. The Secret
5. Think and Grow Rich
Cukup 5 buah ini dulu. Banyak lagi buku-buku bermanfaat yang memberi ilmu yang baik untuk diparktiskan. Jangan baca tajuk sahaja, baca isi kandungan nya untuk faham apa mesej buku tersebut. Jika anda belum ada koleksi buku-buku di atas, boleh lah tambah. Buku adalah aset dan ia juga boleh diwarisi oleh anak cucu cicit kita nanti. Melalui buku juga saya praktiskan rutin menulis matlamat. Matlamat yang kita ada, terjemahkan ke kertas. Zahirkan supaya kita sentiasa on track.
4. Pengalaman baharu terhasil dan memberi banyak idea yang tak pernah terfikirkan sebelum ini
Pengalaman orang lain akan menjadi pengalaman baharu bagi kita tanpa kita perlu melalui kesilapan yang sama. Kesilapan mungkin akan berlaku juga, tetapi bukan kesilapan yang sama seperti yang pernah penulis buku lalui.
Contohnya dalam buku Rich Dad Poor Dad, bagaimana Robert Kiyosaki menceritakan bermulanya kisah beliau dalam dunia pelaburan, dididik oleh dua orang ayah yang mempunyai perbezaan mindset. Bagaimana beliau menerangkan perbezaan antara aset dan liabiliti dengan ringkas dan senang difahami. Sedangkan semasa beliau sekolah dahulu, penulisan beliau teruk dan beliau mengaku beliau bukan penulis terbaik (best author) tetapi buku beliau laku keras (best seller) seluruh dunia. Dari idea dan konsep penceritaan yang beliau ketengahkan, lahir ramai pelabur baharu yang berjaya di seluruh dunia. Besarkan impaknya.
Sebuah buku lagi yang memberikan saya kefahaman lebih baik dalam pelaburan saham adalah Trading In The Zone oleh Mark Douglas. Buku ini agak popular di kalangan pelabur saham. Pertama kali saya baca adalah pada tahun 2018 dan saya sangat blur dengan apa yang beliau nak sampaikan. Masa baca tu, boleh tertidur beberapa kali dan akhirnya 90% dari isinya saya tak faham.
Saya kembali membacanya semula beberapa kali (selepas 2 tahun) sehingga saya dapat fahami dengan lebih baik setiap kali pembacaan. Dan sekarang, dengan senang hati saya mahu mengakui buku ini adalah buku terbaik untuk saya dalam bidang pelaburan saham. Konsep yang diberikan telah membentuk mindset saya. Penulisnya sudah tiada, tetapi ilmunya tetap bertebaran memberi manfaat yang banyak kepada orang lain.
Buku Wanita Wajib Kaya juga terhasil dari pengalaman sendiri tentang bagaimana saya cuba membina mindset yang lebih baik melalui pembacaan buku-buku dan mempraktiskan sendiri ilmu dari buku-buku tersebut.
5. Boleh ulang baca banyak kali kerana ianya evergreen
Saya pernah tulis sebelum ini yang sebelum menjadi pelabur saya adalah pembaca yang tegar. Banyak koleksi buku yang saya simpan rapi atas sebuah rak. Sekarang semakin penuh dah rak tu. Macam nak kena sediakan rak lain pulak.
Saya lebih suka mempunyai koleksi buku fizikal berbanding buku yang boleh dibaca secara online. Saya suka sentuh buku-buku ini dan senang nak capai bila saya terfikirkan sesuatu yang perlu dirujuk. Jadi, buku-buku ni bukan sekali sahaja baca, saya akan ulang sehingga saya faham.
Jika pada masa kita baca tu, rasa kurang faham takpe. Jangan stress nak cari jawapannya sekarang kerana ia akan muncul pada masa depan. Saya bagitahu apa yang saya lalui. Walaupun ambil masa untuk faham, tapi ia sangat berbaloi dan saya enjoy. Rasa seperti lengkapkan sebuah puzzle.
Jadi untuk anda yang sudah ada koleksi buku, cuba baca semula buku-buku lama tu. Then anda akan happy kerana bacaan semula akan buatkan kita lebih faham konsep yang cuba disampaikan. Yang bestnya, tiada harga tambahan atau kenaikan fi bayaran untuk kita akses semula buku-buku ini. Ianya kekal di rak kita dan boleh dirujuk semula pada bila-bila masa. Ilmunya masih segar dan evergreen.
Semoga anda yang membaca artikel ini boleh memulakan tindakan pertama. Beli koleksi buku yang anda nak faham tentang ilmunya atau baca kembali buku lama untuk tambah kefahaman. Semoga budaya membaca secara konsisten akan terus menjadi habit yang baik dalam kehidupan kita.