Sis anak kampung, dah tua baru nak terjebak saham
Dari kecik sehingga berumahtangga, tak pernah terfikir langsung nak terjebak dengan dunia saham ni. Saham tu apa benda pun tak tahu melainkan pernah dengar ayah kawan saya di matrikulasi dulu seorang broker saham. Itulah pertama kali dalam hidup dengar tentang saham. Maklumlah, kita asalnya dari kampung. Dulu-dulu tak ada internet dan telefon canggih macam sekarang. Jadinya, peluang-peluang sebegini sukar nak sampai ke kampung berbanding mereka yang kat bandar. Saya tak rasa rugi pun, inilah perjalanannya yang kena terima walaupun sebaiknya saham ni di dedahkan awal (trade dengan betul) kepada anak muda remaja. So inilah yang cuba saya buat balik untuk anak-anak saya.
Kali kedua saya dengar tentang saham adalah pada tahun 2013, selepas suami saya balik dari kerja dan bercerita tentang saham. Saya skeptikal giler masa tu, setakat dengar sahajalah. Nak melibatkan diri, sangat jauh sama sekali. Pada waktu itu jugak, kewangan tidaklah stabil sangat. Dengar nak letak modal ribu riban pun dah rasa cemas dan sayangkan duit. Tetapi, dalam kepala ni bermacam-macam soalan mula timbul tentang saham. Curiosity gitu!
Saya cakap dengan suami, boleh kita nak try cuma saya kena belajar dulu kasi faham betul-betul apa benda saham ni. Melihatkan kesungguhan suami, saya mula mencari jawapan kepada soalan-soalan tentang saham yang duk berlegar-legar dalam kepala ni. Saya mula google, cari maklumat apa yang patut.
Secara rasminya..
Jadi, saya sebenarnya mula terjebak saham pada tahun 2013. Banyak membaca dan masuk kelas tapi lepas kelas tak tau apa nak buat. Hahaha. Masih keliru, tak faham dan rasa blur yakmat. Duit simpanan yang ada masa tu kalau guna untuk labur saham dan loss semua, habis licin tak ada apa la jawabnya. Fikir punya fikir, saya dan suami buat keputusan melangkah ke pelaburan hartanah dahulu dan tinggalkan dunia saham buat sementara waktu. Sebab masa tu kami fikir, nak berjaya dalam saham ni kena ada modal besar. Kalau setakat modal ribu-ribu je, takkan nampak hasil. Itu fikiran masa tu lah..ternyata fikiran tu salah sama sekali. Kenapa? Sebabnya, konsep asas melabur saham ni bukan fokus buat duit semata, tapi fokus melatih skil mengurus risiko. Maksudnya ‘risk’ yang wajib diutamakan berbanding ‘profit’. Jadi, modal kecik pun boleh asalkan kita konsisten mengasah skil trade. Bila dah ada skil yang proven, modal adalah alat untuk scalable kan nya. Kalau modal besar ratusan ribu sekali pun, tapi kita guna masa tak ada skil, boleh hangus semuanya sekelip mata. Modal kecik yang saya maksudkan bukanlah ratusan ringgit. Senang cerita jika modal bawah RM5,000, asah skil dengan buat paper trade dulu. Execute our method properly untuk tengok keberkesanannya. Kena ingat, ini saham yang patuh syariah. Tiada margin boleh digunakan untuk laverage. Modal besar memang best untuk trade, dengan syarat skil dah mantap.
Selepas melabur dalam property dan fokus masa serta kudrat dalam menguruskan rumah sewa, baru lah buat come back kat dunia saham pada tahun 2017. Sayangkan, dek kerana mindset yang salah tentang saham tadi, tempoh 4 tahun untuk mengasah skil berlalu macam tu saja. Tapi itulah, saya tetap percaya pada susunan Tuhan yang lebih tahu kemampuan diri kita. Mayb kalau saya buat property dan saham serentak, dari aim nak jadi crazy rich asian terus jadi crazy forever and ever.
Lepas dah ada aset ni baru hati jadi lebih tenang untuk cuba kembali faham dan melabur saham. So duit hasil rumah sewa boleh guna sebagai duit hangus melabur saham. Kalau hangus semuanya pun, rumah masih ada. Tak ada lah rasa jiwa kacau. Rupanya, term ni dipanggil hedging. Selepas saya kembali membaca tentang saham, saya jadi semakin minat. Cuma liku-liku perjalanannya sangat menguji jiwa dan emosi sehingga hampir give up. Masa tu juga saya bergelut menguruskan anak-anak kecil yang tengah lasak dan banyak akal. Segala emosi bercampur baur.
Saya mengaku terlalu banyak masa, tenaga dan wang mengalir sepanjang tempoh mahu menguasai saham. Jadi setelah melaluinya, saya berpendapat ada 3 stages untuk jadi trader saham yang sukses dan semua orang boleh melakukannya dengan cemerlang asalkan tak cepat rasa give up.
Saya sendiri telah berguru dengan 9 orang cikgu, ada yang legit dan ada juga yang tak legit. Apa-apa pun saya tetap berterima kasih kepada mereka semua. Perjalanannya memang begini. Dulu macam tak boleh terima juga rasa macam kena scam, tapi sekarang dah boleh terima aturan Tuhan. Daripada 9, hanya 2 orang cikgu sahaja yang legit. Terima kasih dari saya untuk cikgu-cikgu yang legit ini kerana mereka ikhlas mencurahkan ilmu yang betul. Mereka sentiasa hadir dalam doa-doa saya. Terima kasih juga buat cikgu yang tak legit sebab banyak sangat pengajaran yang saya dapat melaluinya. Belajar dari pengajaran lalu juga adalah part of success journey.
Saya memang degil apabila melibatkan persoalan yang belum terungkai dalam fikiran. Dalam kes ni, selagi saya tak faham bagaimana nak trade dengan betul, selagi itulah saya mencari.
Matlamat dalam saham
Setelah renung balik, rasanya degil saya tu disebabkan dari awal saya bertekad nak ajarkan anak-anak saya ilmu saham supaya mereka dapat melabur dengan cara yang betul, bukan fokus untuk cop duit semata-mata.
Lagi satu, sebagai seorang mak pada zaman serba maju ni, saya mahu karier yang fleksibel supaya saya dapat menjaga anak-anak dan melihat mereka membesar depan mata. Fleksibel ni jugak penting untuk persediaan saya dan suami yang pasang impian mahu hidup ‘nomad’ merantau ke negara berbeza suatu masa nanti. Maka sebab tulah, karier sebagai trader ini sangat penting untuk saya kuasai.
Semakin saya bergelumang dengan saham, semakin saya rasa happy dengan life saya. Kini, pada saya ia bukan setakat karier tetapi ia sebahagian dari kehidupan saya. Sudah sebati dan menjadi rutin harian saya dengan saham, bukan trade semata-mata tetapi sepanjang tempoh menguasainya, minda dan attitude saya semakin terdidik, refleksi dari bagaimana kita kawal diri dan emosi serta tidak sama sekali menyalahkan keadaan atau orang lain atas apa jua kemungkinan yang berlaku. Kita sendiri bertanggungjawab atas semuanya.
Apa yang pasti, semua orang boleh kuasai saham. Cuma perlu tanya pada diri, nak ke tak nak? Kalau nak, sejauh mana nak tu. Cari jawapan tu dulu, dan tanyakan juga diri kita apa matlamat sebenar nak trade saham? Kalau jawapannya nak cepat kaya, sah-sah akan cepat merana. Kaya itu bonus, selepas kita berjaya bina dan praktiskan mindset yang betul tentang pelaburan saham. Satu lagi perkara yang sangat benar tentang pelaburan (saham dan hartanah) adalah kedua-duanya memberikan rasa boring setelah menjadi autopilot kerana masa yang diperuntukkan untuk ‘kerja’ adalah sekejap sahaja. Dah satu hal pulak kena cari aktiviti apa nak buat untuk conquer rasa boring.
Yang mana sekapal dalam dunia saham ni, pasti akan bertemu dengan fasa ni, ugly truth mat salleh cakap. Sampaikan saya selalu terfikir, ish..dalam saham ni boring pun boleh jadi benda yang sangat susah diatasi.
1 komen
Good sharing .. Keep it up
Komen telah ditutup.