Nikmati Hidup Kita

oleh Fida Jaafar

Jangan bertangguh, nikmati hidup kita sekarang!

Sudah pasti semua manusia mahu nikmati kehidupan masing-masing. Semua mahukan rasa bahagia, gembira, mahu berkasih sayang. Namun, dalam tak sedar kita kadangkala menangguhkan rasa tersebut demi sesuatu yang belum kita capai. Kita letak sebuah matlamat, kemudian stress pula apabila matlamat tersebut masih belum tercapai, sehingga lupa menikmati prosesnya.

Proses adalah sebuah perjalanan yang menguji, merobek, mengundang bahagia, kecewa pula dan bermacam-macam emosi yang bercampur. Jika kita enggan meraikan proses ini, selamanya kita terhalang daripada menyelesaikan sesebuah proses. Jadi, bagaimana mahu mencapai matlamat jika prosesnya amat berat untuk kita tangani?

Nikmatilah! rasai bahagia itu sekarang, walaupun dalam keadaan yang belum sempurna. Rasailah keterujaan melakukan rutin yang kita suka setiap hari. Sayangilah insan-insan setia di sisi kita yang mencorak pelbagai emosi dan perlu dihadapi setiap hari. Kita sedang melalui sebuah proses mencapai matlamat dalam sebuah proses yang lebih besar iaitu kehidupan. Jadi nikmatilah ia sekarang. Jangan bertangguh lagi.

Malam tadi saya menonton filem Soul, terbitan Disney. Sebuah cerita yang memberi kesan emosi kepada saya. Ianya sebuah karya animasi, tetapi jalan ceritanya berat dan lebih sesuai untuk golongan dewasa. Kisah bagaimana sebuah jiwa yang hampir masuk ke alam selepas hidup , kemudian berusaha untuk kembali kepada kehidupan di dunia hanya untuk menyempurnakan sebuah matlamat yang hampir tercapai. Beliau kesuntukan masa kerana peluang tersebut telah ditunggu hampir seumur hidup. Selepas berjaya melakukannya, beliau tersedar yang tiada apa-apa rasa hebat pun selepas mencapai matlamat tersebut. Namun, sepanjang proses mencapainya beliau bergelut dengan pelbagai dugaan dan emosi sehingga lupa menikmati sebuah kehidupan. Peluang kedua telah diberikan, kemudian beliau kembali dengan tujuan yang lebih jelas, nikmati hidup pada setiap detik masa yang berlaku!

Dalam erti kata lain, syukurlah dengan apa yang kita perolehi pada masa sekarang. Pandang sekeliling dan ucapkan syukur. Sedut udara dan lihatlah pandangan alam. Kita sedang hidup, berhenti sejenak fikirkan perkara yang kita kejar. Berfikirlah tentang kurniaan yang ada di sekeliling. Rasailah bahagia walaupun sedikit. Rasakanlah anugerah sebuah kehidupan yang kompleks, tetapi kita terlupa menghargainya kerana sudah terbiasa dengannya- degupan jantung, denyutan nadi, hembusan nafas. Ianya sebuah nikmat dalam kehidupan yang terkadang kita lupa untuk bersyukur. Nikmatilah sekarang, tidak perlu bertangguh untuk rasa bahagia.

Blog Wanita Wajib Kaya (WWK) didedikasikan kepada semua wanita dari pelbagai latar belakang untuk terus menjadikan budaya membaca sebagai medium untuk memberi semangat, inspirasi dan meningkatkan keyakinan bahawa setiap manusia itu dikurniakan keunikan dan kelebihan tersendiri.

Setiap dari wanita wajib berani bertindak ke arah mencapai matlamat yang tersemai dalam diri. Memulakan langkah adalah suatu tindakan yang berani, maka siapa pun anda yang membaca blog ini, terima kasih dan tahniah kerana anda telah memulakan langkah tersebut.

©Wanita Wajib Kaya. Hakcipta Terpelihara.