Suara Alam

oleh Fida Jaafar

Covid-19 juga sebahagian dari alam. Selain kesakitan, ia juga memberi hikmah

Rutin harian saya sejak Covid-19 berubah secara drastik. Oleh kerana banyak masa di rumah, banyak buku yang berjaya saya habiskan (baca) sepanjang tahun 2020 dan bersambung pula ke tahun 2021. Sangat memberikan getaran tenaga yang positif. Matlamat yang  jelas juga berjaya menjadi lebih jelas lagi sehingga sebahagian darinya telah tercapai. Bila baca semula  matlamat yang telah ditulis atau rakam, terasa bersyukurnya hidup.

Saya memandang Covid-19 ini dari sudut hikmah. Banyak positif yang akan datang kepada kita jika kita memikirkan hikmah lebih dari memikirkan musibah. Buku Wanita Wajib Kaya sepatutnya diterbitkan sejak 4 tahun lalu. Namun untuk menulis, bukanlah suatu yang agak mudah kerana idea dan tenaga kena berada seiring. Atau dengan kata lainnya ‘mood’. Cubalah anda menulis apa-apa yang anda mahukan, adakah boleh konsisten setiap hari dengan idea yang berkualiti? Jika anda mampu, tahniah! Namun ianya suatu kelemahan buat saya. Saya memerlukan  suasana untuk dapatkan ‘mood’ menulis. Dan, bantuan itu datang tanpa diduga semasa Covid-19 melanda dunia. Rutian harian saya berubah dengan bangkit seawal sebelum 5.00 am. Secara formal rutin saya menulis bermula jam 5.00 am. Saya dapat menulis selama 2-3 jam secara berterusan (berhenti seketika untuk solat).

Bantuan alam

Apa yang mendorong saya untuk konsisten? Sebelum nak konsisten, nak bermula sangatlah susah. Jika guna alarm sekalipun, tak dapat bangun dengan mudah sebab hati masih menolak rutin yang baharu ini. Satu benda yang menarik saya atau menjadi alarm semulajadi saya adalah suara alam. Seekor burung yang tanpa jemu bernyanyi riang dalam suasana sunyi alam. Sangat memberi kesan kepada emosi saya. Rasa ketenangan dan kedamaian. Burung-burung ini konsisten setiap hari, ibarat memberi penampar padu kepada saya. Aku ini makhluk yang lebih besar, tetapi lemah untuk bangkit menikmati alam ciptaan Tuhan, bersujud dan berdoa dalam hening pagi yang damai. Sejak itu ia menjadi kekuatan saya. Setiap hari saya menulis dengan idea yang segar dan ditemani suara alam yang indah.

Norma baharu ini betul-betul mengubah pemikiran saya. Menjadikan kehidupan lebih bermakna, memandang kehidupan dengan lebih hikmah berbanding musibah. Saya juga mengajak anda pembaca sekalian memulakan rutin 5.00 am ini kerana faedahnya terlalu banyak untuk dikongsikan. Bagi yang telah melakukannya, anda akan dapat rasai sendiri bagaimana hidup menjadi berbeza dan lebih bermakna berbanding sebelumnya.

Banyak impian dan matlamat tercapai dengan jalan yang tidak terduga. Lihatlah alam ini, bukan kita sahaja makhluk Tuhan. Kita adalah sebahagian dari alam. Malah Covid-19 juga adalah makhluk Tuhan, yang dihantar ke dunia untuk mengubah norma baharu dalam kehidupan. Terpulanglah pada kita untuk berfikir bagaimana, mahu mencari hikmah disebaliknya atau berterusan menganggap ianya musibah.

Apa yang kita fikirkan, perkataan apa yang kita gunakan, begitulah yang akan tertarik dan terjadi kepada kita. Ia bukan mistik, tetapi ia law of attraction atau hukum alam. Terima kasih kepada suara alam, yang membantu memberikan idea untuk saya menjadi penulis dan pembaca yang konsisten sebelum menjadi pelabur, sebagaimana saya pada ketika ini.

Blog Wanita Wajib Kaya (WWK) didedikasikan kepada semua wanita dari pelbagai latar belakang untuk terus menjadikan budaya membaca sebagai medium untuk memberi semangat, inspirasi dan meningkatkan keyakinan bahawa setiap manusia itu dikurniakan keunikan dan kelebihan tersendiri.

Setiap dari wanita wajib berani bertindak ke arah mencapai matlamat yang tersemai dalam diri. Memulakan langkah adalah suatu tindakan yang berani, maka siapa pun anda yang membaca blog ini, terima kasih dan tahniah kerana anda telah memulakan langkah tersebut.

©Wanita Wajib Kaya. Hakcipta Terpelihara.