Memilih Perkataan

oleh Fida Jaafar

Jangan perlekeh kuasa perkataan

Pentingkah  perkataan yang digunakan setiap hari dalam hidup kita? Ya, penting sangat! Tapi dalam tak sedar kita terdidik dengan perkataan yang memberi impak kurang sihat kepada kesihatan emosi dan keyakinan diri.  Walaupun sejak azali kita gunakan perkataan ini, sebenarnya kita belum terlambat walau sedikit pun untuk mengubahnya semula.

Perkataan adalah cerminan minda kita. Jika suatu masa dulu, kita suka menggunakan perkataan berbaur negatif hampir setiap masa, namun pada bila-bila masa kita boleh mengubahnya. Ianya terletak pada minda dan keinginan untuk lakukannya. Kenapa perkataan ini penting sangat? Asbab yang paling relevan adalah kita bercakap setiap detik, setiap ketika, setiap jam, setiap hari selama berpuluh tahun selagi hayat ada. Semuanya menggunakan perkataan. Betul ke bercakap setiap masa? Waktu tidur saya tak bercakap. Apa yang kita jarang sedari adalah, kita lebih banyak bercakap dengan diri sendiri (monolog) ketika berfikir, termenung, membuat kerja harian malah semasa tidur sekali pun, minda bawah sedar kita berfungsi.

Jaga-jaga dengan self sabotage

Penggunaan perkataan negatif apabila bercakap dengan diri sendiri adalah jauh lebih bahaya berbanding bercakap dengan orang lain. Perkataan yang negatif boleh membuatkan kita tanpa sedar mensabotaj diri sendiri dan sterusnya percaya bahawa kita tiada fungsi dalam dunia ini. 

Oleh sebab itu, kita kena sentiasa berlatih mengubah perkataan-perkataan negatif (walau hanya untuk gurauan sekalipun) kepada perkataan yang positif dan lebih menenangkan. Pada permulaan ianya memang sangat sukar kerana untuk mengubah sebuah tabiat yang telah lama tertanam dalam diri, akan mengambil masa yang lama dan komitmen yang padu.

Kita boleh mulakan dengan menyenaraikan perkataan-perkataan yang negatif tadi sebanyak yang mungkin dalam sebuah kolum. Manakala sebuah lagi kolum disebelahnya digunakan untuk menulis perkataan positif yang sama atau hampir sama maksud dengan perkataan negatif tadi. Setiap hari kena baca perkataan yang telah kita ubah tadi agar apabila tiba masa penggunaannya, kita mudah mendapat idea untuk menggunakan perkataan tersebut.

Situasi lain yang bahaya pula adalah jika kita tidak sedar perkataan yang kita gunakan semasa berfikir, bercakap atau menulis itu sebenarnya negatif. Jadi, tanya pada diri kita apa perasaan kita apabila menggunakan perkataan tersebut. Adakah kita rasa gembira atau sebaliknya?

Melalui tapisan perasaan ini, kita boleh saring perkataan mana yang membuatkan kita rasa bahagia (positif) dan perkataan mana pula yang menyakitkan hati kita (negatif).

Satu cara yang lain pula, kita wajar untuk menambah perkataan-perkataan baharu yang positif dalam pertuturan melalui pembacaan naskah yang bagus, buku-buku, atau menonton video yang memberi manfaat. Gunakan perkataan yang baik-baik supaya minda menjadi lebih berkembang dengan perkara baru. Kita kena tahu bahawa arah kehidupan kita ini bermula dengan minda yang berjaya dikawal dengan baik. Maknanya, semua bermula dengan diri kita. Jika dulu kita terhalang dari didikan yang baik, mulakanlah sekarang.

Masih ada masa untuk kita walau diperingkat mana pun kehidupan kita sekarang. Hargai setiap detik hidup. Jom buat kamus perkataan baik-baik untuk kita dan keluarga kita. Ingatkan diri dan keluarga, terutama anak-anak muda zaman sekarang ni perkataan baik-baik bukanlah skema, tapi ia cerminan minda yang sihat. Tidak kira lah kita bercakap dengan diri sendiri atau dengan orang lain, gunakan perkataan yang positif. Jika tersasul, cepat-cepat ubah supaya kita sentiasa on track mengaplikasikan perkataan positif. 

Blog Wanita Wajib Kaya (WWK) didedikasikan kepada semua wanita dari pelbagai latar belakang untuk terus menjadikan budaya membaca sebagai medium untuk memberi semangat, inspirasi dan meningkatkan keyakinan bahawa setiap manusia itu dikurniakan keunikan dan kelebihan tersendiri.

Setiap dari wanita wajib berani bertindak ke arah mencapai matlamat yang tersemai dalam diri. Memulakan langkah adalah suatu tindakan yang berani, maka siapa pun anda yang membaca blog ini, terima kasih dan tahniah kerana anda telah memulakan langkah tersebut.

©Wanita Wajib Kaya. Hakcipta Terpelihara.